05.11.09

Semula

Posted in Pembelajaran at 6:49 am by Al-Ustaz

Ayat untuk hari ini :

 سَأُكَرِّرُهَا مِنْ جَدِيْدٍ

Saukarriruhaa min jadiid

Maknanya : Saya akan mengulanginya semula

Cuba anda buat ayat anda sendiri yang mengandungi perkataan ’semula’. Ustaz akan semak jawapan anda.

 

11.19.08

Tips Belajar Bahasa Arab

Posted in Pembelajaran at 3:33 pm by Al-Ustaz

Ramai di kalangan kita pernah belajar Bahasa Arab samada secara rasmi ataupun tidak. Walaubagaimanapun kebanyakan mereka masih ada yang mengeluh menyatakan belum dapat menguasai kemahiran Bahasa Arab.

Ada juga yang bertanya “Apakah rahsia untuk mahir berkomunikasi dalam Bahasa Arab? Apakah tips mudah untuk menguasai bahasa Nabi ini? Apakah teknik mudah untuk memahami dan mendalami bahasa ini dengan mudah? Berapa lama pula masa yang diperlukan?”Sehubungan itu, penulis inigin mengajak para pembaca untuk sama-sama berkongsi pengalaman bagaimana kita boleh meningkatkan kemahiran berbahasa Arab. 

Secara umumnya, jika kita tahu cara dan teknik yang betul dan sesuai untuk mahir dalam bahasa Al-Quran, ia adalah sangat mudah. Pendekatan teknik mudah inilah yang jarang didedahkan kepada para pelajar. Dalam hal ini, kita memiliki banyak kelebihan anugerah Allah yang kita tidak manfaatkan secara maksima. 

Dengan ertikata lain, kita perlu memasukkan beberapa unsur yang sering dilupakan dalam pembelajaran biasa. Antara unsur itu ialah konsep kata pinjaman, zikrullah, panggilan mesra berkomunikasi, intonasi yang sesuai, bahasa badan yang meyakinkan dan penggunaan ayat Al-Quran dan al-Hadis. Pendekatan belajar mudah bahasa Arab ini menggabungkan beberapa elemen penting dan beberapa konsep unik yang kita abaikan sebelum ini. Antara konsep itu ialah: 

Pertama : Konsep Memanfaatkan Kelebihan Memiliki Kata Pinjaman. 

Kita sebagai rakyat Malaysia yang telah menguasai Bahasa Melayu dikira cukup bertuah berbanding rakyat Argentina, Jepun, Brazil dan lain-lain. Bahasa yang mereka tuturkan hampir tiada persamaan dengan bahasa Arab. Ini berbeza dengan bahasa Malaysia yang kita gunakan seharian. Dalam Kamus Dewan sahaja terdapat lebih 1,700 perkataan berasal daripada perkataan Arab. Jadi apalah salahnya, kata pinjaman yang berasal daripada bahasa Arab itu kita gunakan semula dalam membina ayat mudah dalam bahasa Arab. 

Dalam peperiksaan Bahasa Arab SPM, calon dikehendaki menulis karangan sekurang-kurangnya 150 patah perkataan. Ini sudah tentunya sangat senang kerana kita ada lebih 10 kali ganda daripada itu iaitu 1700 patah perkataan dalam bahasa ibunda kita. Cuma, persoalannya bagaimana kita menggunakan kelebihan ini. 

Untuk itu, satu kaedah baru telah diperkenalkan yang diberi nama MUKADDAM. Kaedah MUKADDADAM ini adalah singkatan (“Membandingkan Unsur-unsur Kalimah Arab Dengan Dialek Alam Melayu”). Ia adalah satu pendekatan mudah belajar bahasa Arab terutamanya untuk rakyat Malaysia yang sudah menguasai Bahasa Melayu. Konsep yang ingin diketengahkan sebenarnya cukup mudah. 

Setiap hari cuma satu kata pinjaman sahaja yang akan dihuraikan, digunakan dan dipraktikkan. Inilah yang dikatakan, sehari sehelai benang, lama-kelamaan menjadi selembar kain. Begitu juga dalam konteks belajar bahasa Arab yang mudah ini. Sehari satu kata pinjaman lama kelamaan “as-hala qamusin”. Apa yang dimaksudkan dengan “as-hala qamusin” ialah sebuah kamus yang paling mudah difahami. 

Kedua : Konsep Zikrullah 

Ada satu soalan yang sering ditanya kepada kita. Kebanyakan daripada kita pun pasti akan menjawabnya dengan jawaban yang sama atau hampir sama. Soalan itu ialah “Kaifa haluk?” Terjemahannya “Apa khabar saudara?” Jawabannya ialah “Ana bikhair wal hamdulillah” Terjemahannya “Saya baik dan alhamdulillah”.

Apa yang ingin dibicarakan di sini ialah jawaban “alhamdulillah” iaitu menyebut nama Allah. Persoalannya kenapa soalan ini sahaja kita menjawabnya dengan menyebut nama Allah? Kenapa dalam soalan lain atau suasana yang lain kita tidak mampu menyebut nama Allah? Sehubungan itu kita akan mengaitkan apa saja ayat yang kita bina dengan satu zikrullah yang paling sesuai. Dalam hal ini sekiranya kita mudah mengingati Allah, Allah akan memudahkan kita untuk belajar mengingati perkataan lain. 

Ketiga : Konsep Panggilan Mesra 

Dalam komunikasi berkesan kita digalakkan menyebut nama, gelaran atau pangkat seseorang. Dalam Al-Quran, perkataan ya… (seruan yang bermakna wahai…) disebut sebanyak 361 kali. Sehubungan itu kita boleh mulakan dengan panggilan mesra atau panggilan mesra diletakkan di awal atau di hujung percakapan. 

Terdapat dua faedah utama yang boleh kita peroleh sekiranya kita menggunakan konsep ini. Faedah pertama kita dapat membanyakkan atau memanjangkan ayat yang kita bina. Faedah kedua pula dapat mengeratkan hubungan komunikasi antara kita dan orang yang kita hubungi. 

Keempat : Konsep Intonasi  

Dalam pembelajaran bahasa Arab secara tradisional, para pelajar dikehendaki membaca beberapa ayat dalam satu intonasi sahaja. Oleh itu dalam kaedah mudah ini, pelajar dikehendaki melakonkan satu perkataan dalam pelbagai intonasi. 

Sebagai contohnya perkataan “La” yang bermakna tidak atau penafian. Seorang pelajar yang menghayati bahasa Arab mampu membuat pelbagai intonasi yang sesuai berdasarkan masa, tempat dan kedudukan walaupun hanya satu perkataan. Perkataan “la” boleh dialunkan intonasinya dalam keadaan biasa, menafikan cara lembut, menafikan secara bersungguh-sungguh, menafikan cara keras, secara mengada-ngada, geram, marah, bersahaja, terkejut, kagum dan sebagainya. 

Kelima : Konsep Bahasa Badan 

Ini diambil dari konsep iman iaitu membenarkan dalam hati, melafazkan dengan lidah dan melakukan dengan anggota badan. Dalam pembelajaran bahasa Arab secara tradisional, para pelajar hanya menggunakan dua pertiga sahaja. Mereka jarang sekali menggunakan anggota badan untuk membantu pertuturan mereka. 

Sehubungan itu, berteraskan modal insan, para pelajar dikehendaki menggunakan bahasa badan mereka sebagai sokongan. Ini secara tidak langsung akan memudahkan mereka berinteraksi dengan lebih menyakinkan dan menyenangkan mereka menghafal perkataan baru. 

Dalam hal ini, kita ambil satu contoh mudah. Mr Bean, seorang pelakon popular telah mengaplikasikan konsep iman ini dengan menjadikan bahasa badan sebagai teras dalam aksi komedinya. Filem beliau terkenal, difahami dan diterima pakai di seluruh dunia. Kini, beliau boleh dikatakan seorang yang berjaya dalam bidang lakonan. Kenapa anda tidak mahu mencuba konsep iman ini semasa belajar Bahasa Arab? 

Keenam : Konsep Pengukuhan Dengan ayat Al-Quran, Al-Hadis dan Kata-kata hikmat  

Untuk pengukuhan kita gunakan perkataan yang digunakan dalam Al-Quran, Hadis atau kata-kata hikmah. Sebagaimana kita maklumi, bahasa Al-Quran tidak boleh ditandingi oleh mana-mana pakar bahasa. Begitu juga dengan Al-Hadis dan kata-kata hikamt dalam bahasa Arab yang boleh dijadikan sebagai panduan penting dalam mempelajari bahasa Arab ini. 

Sehubungan itu kita sepatutnya menggunakan kekuatan yang kita ada ini berbanding pelajar yang belajar bahasa-bahasa lain selain daripada bahasa Arab tidak dapat menggunakan kelebihan ini. Jika kita tidak memanfaatkan kelebihan ini, sudah tentu kita akan mengalami suatu kerugian besar.

Untuk memudahkan anda belajar bahasa arab, beli ebook Panduan Belajar Bahasa Arab di www.belajarbahasaarab.com, untuk membeli bank in RM50 (Siri 1) / RM50 (Siri 2) / RM100 (Siri 1 & 2) ke dalam akaun maybank ustaz no: 164173632578. Setelah membuat pembayaran, beritahu ustaz melalui email admin@belajarbahasaarab.com dan ustaz akan hantarkan ebook tersebut kepada anda.

Ustaz Abd Rahman bin Jamaan

08.19.08

Hadapan

Posted in Pembelajaran at 12:57 am by Al-Ustaz

Ayat untuk hari ini :

سَنُوَاجِهُ رَمَضَانَ فِيْ الشَّهْرِ القَادِمِ

Sanuaajih ramadhaan fisyyahril qoodim

 

( Sila tekan player untuk mendengar sebutan ayat ) 

Maknanya : Kita akan berjumpa ramadhan pada bulan hadapan

Terjemahan perkataan :

سَنُوَاجِهُ (sanuaajih) - kita akan menghadapi (berjumpa)

رَمَضَانَ  (ramadhaan) - bulan ramadhan

 فِيْ (fii) - pada

الشَّهْرِ  (al-syahri) - bulan

القَادِمِ  (al-qoodim) - hadapan

Sekarang, cuba anda buat ayat sendiri menggunakan perkataan ‘hadapan’, contohnya saya akan menghadapi peperiksaan pada minggu hadapan, saya akan berjumpa kawan saya pada bulan hadapan dan sebagainya. Sila tulis jawapan anda pada ruangan ‘komen’.

06.27.08

Bahasa Arab Melalui Al-Quran

Posted in Pembelajaran at 4:50 am by Al-Ustaz

Penggunaan al-Quran untuk tujuan mengajar ilmu bahasa Arab terutama nahu (grammar) itu sendiri telah mendapat perhatian yang utama oleh para nuhat (ahli-ahli nahu) sejak zaman berzaman. Bermula daripada Abu Aswad al-Duali yang telah menyahut seruan saidina Ali K.W dalam meletakkan asas ilmu nahu setelah beliau mendengar adanya lahn (kesalahan daripada segi nahu) dalam pembacaan al-Quran. 

Sibaweih (180H) dalam bukunya ‘al-Kitab’ juga menggunakan dalil ayat-ayat al-Quran sebagai bukti kepada kaedah-kaedah nahu. Penggunaan dalil daripada ayat-ayat al-Quran untuk membuktikan ketepatan kaedah nahu dipanggil dengan istilah “syahid al-quran”. Syahid al-quran yang pertama digunakan oleh Sibawieh di dalam kitabnya adalah ketika membincangkan tentang kalimah iaitu tajuk pertama tentang ilmu nahu. 

Sekiranya dilihat pula Ibnu Hisham (761H) maka beliau juga menggunakan syahid al-Quran di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu bahasa Arab. Di dalam bukunya “syarh qatr al-nada wa bal al-sada” penggunaanya (syahid al-quran) yang pertama adalah dalam bab al-kalimah apabila beliau membawa ayat al-quran sebagai dalil kepada jumlah mufidah. 

Begitu juga Ibnu ‘Aqil (769H) yang juga tidak ketinggalan dalam menggunakan syahid al-Quran ini di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu. Syahid al-Quran yang pertama di dalam kitabnya “syarh ibn ‘Aqil” ialah apabila beliau memperkatakan juga tentang al-kalam (iaitu al-kalimah). 

Jikalau ada pihak yang mengatakan Ibnu Hisham dan Ibnu ‘Aqil kedua-duanya adalah “syarih” (orang yang melakukan huraian) kepada matan Ibnu Malik (alfiah) yang bersifat “nazam atau syair” maka sepatutnya lah mereka menggunakan al-Quran, maka kita lihat pula kepada ulama-ulama nahu yang melakukan huraian kepada matan al-ajrumiyah (bukan syair) yang juga menggunakan syahid al-Quran di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu. 

Kita ambil contoh al-Syeikh muhammad Ab al-Bariy (1298H) yang telah menulis nota tentang matan bekenaan menggunakan syahid al-Quran pada permulaan bab nahu lagi iaitu bab al-ikrab dan al-bina’ manakala al-syarih bagi matan al-ajrumiyyah pula iaitu al-Syiekh muhammad al-Ra’aini menggunakan syahid al-Quran, dan syahidnya yang pertama datang dari bab al-kalam. 

Sekiranya kita perhatikan ulama-ulama nahu terdahulu, mereka sangat berpegang teguh dengan al-quran di dalam pengajaran mereka tentang kaedah-kaedah nahu. Sehinggakan pada permulaan bab lagi mereka telah menggunakan al-Quran sebagai bukti atau dalil ketepatan kaedah yang dibawa. 

Tetapi apabila kita merujuk kepada kitab-kitab pengajaran nahu yang ditulis oleh ulama-ulama kini, maka kita dapati sebahagian daripada mereka menggunakan al-quran dan sebahagian yang lain pula tidak menggunakan al-quran langsung di dalam menerangkan kaedah-kaedah nahu. 

Di antara kitab-kitab nahu yang masih menggunakan al-quran sebagai bukti ketepatan kaedah nahu adalah seperti kitab ‘jami al-durus’ yang dikarang oleh al-Ghalayini (1912), kitab ‘al-tatbiq al-nahwi’ karangan Dr. Abduh al-Rajihi (1988), dan juga kitab terbaru yang mengemukakan huraian (syarh) kepada matan al-ajrumiyyah yang telah dilakukan oleh Muhammad Mahyu al-Din Ab Hamid yang dinamakan dengan ‘al-tuhfatu al-saniyyah’ juga tidak ketinggalan menggunakan syahid al-quran sebagai hujjah membuktikan ketepatan nahu bahasa Arab. 

Manakala kitab-kitab yang tidak menggunakan syahid al-quran di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu adalah seperti kitab ‘al-nahwu al-wadhih’ tidak menggunakan syahid al-quran pada kedua-dua jilid (untuk marhalah ibtidaiyah dan thanawiyyah). Begitu juga buku-buku ringkasan nahu bahasa Arab yang digunakan di sekolah-sekolah juga tidak menggunakan syahid al-Quran ini. 

Kesimpulan daripada kajian yang sedikit ini (jika boleh dikatakan) bahawa terdapat kaitan yang jelas di antara menggunakan syahid al-quran dalam kaedah pengajaran bahasa Arab dengan penguasaan ilmu bahasa Arab itu sendiri dalam kalangan pelajar-pelajar. Maksudnya, kemungkinan kesukaran pelajar-pelajar dan kelemahan mereka menguasai ilmu bahasa Arab kerana mereka kini telah jauh daripada al-Quran itu sendiri yang mana suatu ketika dahulu didekatkan oleh guru mereka melalui kaedah penggunaan syahid al-Quran. 

Hal ini demikian kerana kaitan al-quran itu sendiri dengan bahasa Arab adalah diibaratkan seperti isi dengan kuku. Tidak sempurnalah jari yang tidak mempunyai kuku tetapi hanya ada isinya sahaja dan begitulah sebaliknya. 

Jadi usaha untuk memantapkan kembali penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar adalah dengan mengembalikan mereka kepada kaedah sebagaimana yang diasaskan oleh ulama terdahulu, di antaranya adalah menggunakan al-Quran di dalam pengajaran nahu bahasa Arab itu sendiri. 

Sesungguhnya mukjizat al-quran yang maha suci itu memungkinkan pelajar mudah faham tentang kaedah-kaedah nahu yang nampak seakan-akan terlalu susah kini. Mudah-mudahan usaha mengembalikan al-quran bersama kaedah pengajaran nahu akan memantapkan kembali penguasaan nahu dan bahasa Arab itu sendiri. 

 

 

06.06.08

Tips Atasi Krisis Semasa

Posted in Pembelajaran at 7:06 am by Al-Ustaz

1. Sertai Kelab Dhuha… yakni kita berusaha secara istiqamah melakukan Solat Dhuha minima 2 rakaat.

2. Mengamalkan Surah Al-Waqiah setiap hari.

Oh sangatlah MUJARAB … tak percaya? Jom buat sesama… !

 

05.28.08

Hujung minggu

Posted in Pembelajaran at 5:54 am by Al-Ustaz

Ayat untuk hari ini :

 أَتَسَوَّقُ فِيْ نِهَايَةِ الأُسْبُوْعِ

Atasawwaqu fii nihaayatil ‘usbuu’

Maknanya : Saya membeli-belah pada hujung minggu

Terjemahan perkataan :

 أَتَسَوَّقُ(atasawwaqu) - saya membeli-belah

 فِيْ(fii) - pada

 نِهَايَةِ(nihaayah) - hujung

 الأُسْبُوْعِ(al-’usbuu’) - minggu

Cuba pelajar-pelajar ubah ayat di atas menggunakan ayat anda sendiri, contohnya, saya berehat dihujung minggu, saya pergi ke kuala lumpur pada hujung minggu dan sebagainya, tuliskan dan ustaz akan menyemak tulisan anda. Untuk menulis, klik pada ‘comments’

 

Pukul 5

Posted in Pembelajaran at 5:26 am by Al-Ustaz

Ayat untuk hari ini :

 أَسْتَيْقِظُ مِنَ النَّوْمِ فِيْ الخَامِسَةِ صَبَاحًا

Astaiqizu minan naum fil khoomisati sobaahan

Maknanya : Saya bagun dari tidur pada pukul 5 pagi

Terjemahan perkataan :

 أَسْتَيْقِظُ(astaiqizu) - saya bangun

 مِنَ(min) - dari

 النَّوْمِ(al-naum) - tidur

 فِيْ(fii) - pada

 الخَامِسَةِ(al-khoomisah) - lima

 صَبَاحًا(sobaahan) - pagi

Cuba pelajar-pelajar buat ayat seumpama ayat di atas, contohnya : saya membaca buku pada pukul 10 pagi, saya pergi ke masjid pada pukul 1 tengahari dan sebagainya, sila tuliskan dgn tulisan jawi atau rumi. Untuk menulis, sila klik pada ‘comments’.

01.01.08

Majalah ANIS, keluaran Januari ‘08, ms 87

Posted in Pembelajaran at 8:35 am by Al-Ustaz

12.27.07

Kursus Bahasa Arab 12 JULAI 2008

Posted in Pembelajaran at 12:11 am by Al-Ustaz

Kursus Bahasa Arab akan diadakan pada 12 JULAI 2008. Pendaftaran sedang dibuka. Daftar sekarang di :

http://www.belajarbahasaarab.com/kursus

10.11.07

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Posted in Pembelajaran at 1:01 pm by Al-Ustaz

Ustaz mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat islam khususnya di Malaysia dan juga tak kira dimana sahaja berada. Semoga dihari yang berbahgia ini kita dapat mengeratkan ukhuwwah & silaturrahim serta bermaaf-maafan antara satu sama lain. Sambutlah hari raya ini dengan penuh rasa kesyukuran dan ketaatan kepada Allah.

« Previous entries ·